[20 April 2018] Minta nyawa si kecil

minta

Kuala Lumpur: Dua bayi lelaki dan perempuan masing-masing berusia tiga bulan dan sebulan memerlukan bantuan orang ramai bagi membolehkan mereka menjalani pembedahan segera keseluruhan berjumlah RM120,000.

Karim Kulang, 33, berkata bayinya, Nur Qasdina dilahirkan sebulan lalu dengan masalah injap jantung terbalik ini memerlukan sumbangan berjumlah RM70,000 bagi menampung kos pembedahan di Hospital Gleneagles, di sini.

Beliau yang bekerja sebagai buruh berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu dikesan menghidap penyakit transposition great arteries (TGA) selepas dilahirkan di Hospital Tawau, Sabah.

“Pembedahan ini satu-satunya usaha untuk Nur Qasdina sembuh dan menjalani kehidupan seperti bayi lain iaitu akan melalui tiga prosedur termasuk menutup lubang pada jantungnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles di sini, semalam.

Sementara itu, Sam Jia Ler, yang berusia tiga bulan dari Hulu Langat, Selangor memerlukan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menampung kos pembedahan jantung berlubang.

Bapanya, Sam Chi Way, 39 bekerja sebagai kontraktor, berkata anak keduanya yang dilahirkan pra-matang pada usia kandungan 34 minggu di Hospital Ampang turut mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghantar wang tunai atau cek dengan nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Satu, Anjung Riong Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan terus ke akaun Maybank bernombor 5141 0532 3170.

Search