[20 Ogos 2018] Terima kasih Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP

KUALA LUMPUR : Keseronokan alam remaja semakin dinikmati, Nurul Nabilah Husna Ahmazi, 23, apabila bebas daripada sakit tulang belakang, scoliosis yang dideritai sejak berusia 15 tahun lagi.

Hasil bantuan daripada orang ramai dan badan korporat, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund), membolehkan beliau melakukan pembedahan memperbaiki tulang belakang membabitkan kos lebih RM20,000 pada 2013 lalu.

Katanya, nikmat kesihatan itu, membolehkan beliau melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi.

NURUL Nabilah Husna Ahmazi. – Foto Mahzir Mat Isa

“Tanpa sumbangan daripada orang ramai, mungkin sukar untuk saya sambung belajar hingga ke peringkat sekarang.

“Sakit saya tanggung menyebabkan saya hampir tidak dapat menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR),” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berkunjung ke Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP) di sini hari ini.

Kegembiraan Nurul Nabilah, berganda apabila turut tamat pengajian pada peringkat Diploma Sumber Manusia daripada Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) baru-baru ini.

Nurul Nabilah berkata, sejak berada si sekolah rendah lagi beliau sering berhadapan dengan masalah lenguh kaki hingga membataskan dirinya daripada terbabit dengan aktiviti lasak serta kesukanan.

“Sewaktu saya berada di tingkatan tiga rasa sakit itu teramat sangat, menyebabkan ibu bapa saya membawa saya mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Pemeriksaan teliti mendapati saya berhadapan scoliosis, hingga menghimpit saraf. Sejak itu kes saya dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM),” katanya.

Dalam proses rawatan beliau perlu memakai alat sokongan selama dua tahun sebelum melakukan pembedahan memperbaiki tulang belakang pada usia 18 tahun.

Pembiayaan rawatan itu diperoleh selepas HUKM menerusi unit Kebajikannya memohon sumbangan daripada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

“Tanpa bantuan itu saya tidak tahu sama ada saya boleh terus belajar atau tidak,” katanya.

Justeru beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua penderma dan pihak terbabit yang membantu beliau.

“Saya menyeru syarikat korporat untuk terus menderma kerana ramai dalam kalangan masyarakat yang memerlukan bantuan daripada pelbagai segi, termasuklah kesihatan seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Azlan Abdul Aziz, berkata sumbangan orang ramai ke Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP yang ditubuhkan sejak 1991 (yang dahulu dikenali sebagai the Malay Mail Charity Fund), banyak memberi manfaat dari penubuhannya sehinggalah hari ini.

“Pada 2017 saja, seramai 51 orang penerima mendapat manfaat dari tabung membabitkan jumlah RM675,128.86,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penderma dan syarikat terbabit dalam menjayakan tabung berkenaan.

Bagi mereka yang ingin membantu kes baharu, sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Kebajikan Media Prima-NSTP di akaun Maybank 5141-0532-3170.

Ia juga boleh dibuat melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke Media Prima Berhad, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Tingkat 3, Anjung Liku Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Search