‘Bantulah bayiku’

Mahaizura Abd Malik

KEGEMBIRAAN sepasang suami isteri menyambut cahaya mata kelima terbantut apabila bayi mereka disahkan menghidap jantung berlubang dan masalah saluran darah tunggal.

Sharina Ezuein Sazali, 35, berkata, anaknya, Putri Nur Awlia Afiea Azwan yang berusia empat bulan disahkan menghidap masalah jantung pada usia dua bulan.

“Anak saya dilahirkan normal dengan berat 2.11 kilogram (kg) dan doktor tidak mengesan sebarang masalah.

“Pada usia dua bulan saya perasan anak sukar bernafas dan berbunyi seperti ada kahak,” katanya di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurutnya, anaknya dirujuk ke Hospital Serdang sebelum kes dipindahkan ke IJN.

“Pakar IJN memaklumkan anak perlu menjalani pembedahan segera bagi menutup lubang dan membuka satu lagi saluran darah.

“Jika tidak dirawat perkembangannya terbantut, tidak aktif dan lemah selain mengancam nyawa,” katanya.

Katanya, dengan pendapatan suami, Azwan Mohamed Nazir, 44, sebagai pemandu bas persiaran yang tidak menentu membuatkan mereka tidak mampu menyediakan kos rawatan berjumlah RM60,000.

“Saya tidak bekerja dan bergantung pada pendapatan suami sekitar RM1,500 ke RM2,000 sebulan.

“Selain Awlia, kami ada empat anak lagi yang bersekolah berusia enam hingga 12 tahun.

“Kami bersyukur mendapat sumbangan RM48,000 Unit Taksiran Kementerian Kesihatan Malaysia dan masih memerlukan RM12,000,” katanya.

Sharina Ezuein berkata, dia memohon doa rakyat Malaysia supaya anaknya selamat menjalani pembedahan yang dijadualkan Isnin ini.

“Saya tak sanggup lihat anak sekecil ini menderita. Semoga pembedahan ini berjaya seterusnya membolehkan anak saya membesar normal,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menghantar wang tunai atau cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dengan menulis nama pesakit (Putri Nur Awlia Afiea Azwan) di belakang cek dan dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Tiga, Anjung Liku, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalur ke akaun Maybank bernombor 514105323170 dengan meletakkan nama pesakit (Putri Nur Awlia Afiea Azwan) di ruangan Rujukan Penerima atau Maklumat Pembayaran Lain (Other Payment Details).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:57 AM
Search