Bantulah Muhammad…

YASMI Mamu-U Ma, bersama Muhammad yang menghadapi jantung berlubang dan sindrom down. FOTO Amirudin Sahib.

Subang Jaya: Luluh hati seorang ibu, Miss Yasmi Mamu Uma apabila anak bongsunya, Muhammad [email protected] Bakar yang baru berusia 55 hari sudah menanggung derita akibat penyakit dihidapinya.

Muhammad bukan hanya menghidap sindrom down tetapi masalah jantung berlubang pada dinding atrium atau Atrial Septal Defect (ASD) dan duktus arteriosus terbuka atau patent ductus arteriosus (PDA) yang menyebabkannya jantungnya gagal berfungsi dengan baik.

Berikutan penyakit itu, Miss Yasmi 43 yang juga ibu lima itu anak berkata, Muhammad bergantung sepenuhnya mesin alat tekanan salur udara positif berterusan (CPAP) dan kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Sunway (SMC), di sini.

Berkongsi perasaannya, Miss Yasmi, 43 dari Kampung Pulau Bahagia, Kuala Terengganu, Terengganu mengakui berat untuk menerima kenyataan itu malah terkejut kerana tiada masalah sepanjang menghamilkan Muhammad.

“Ketika mengandung saya hanya mengalami diabetes, dan pemeriksaan dijalankan sepanjang tempoh kehamilan mendapati kandungan dalam keadaan baik.

“Muhammad lahir secara normal tetapi selepas dilahirkan, doktor memaklumkan dia mengalami sindrom down, pada mulanya saya tak faham namun selepas diberi penerangan lanjut baru saya mengetahuinya.

“Saya tetap terima Muhammad walaupun dia anak istimewa cuma sedih dan hilang kata-kata apabila doktor beritahu dia ada masalah jantung kerana memikirkan derita ditanggungnya di usia kecil,” katanya dalam sesi temubual secara maya, hari ini.

YASMI Mamu-U Ma, bersama Muhammad yang menghadapi jantung berlubang dan sindrom down. FOTO Amirudin Sahib.

Menurut Miss Yasmi, sebelum ini, anaknya menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Sunway (SMC), di sini pada 13 Ogos lalu.

Katanya, selain keadaan Muhammad, dia dan suami, [email protected] Bakar Mamat, 50 runsing memikirkan cara mendapatkan wang kerana anaknya memerlukan RM40,000 bagi membiayai kos pembedahan yang akan dijalankan esok.

“Saya suri rumah manakala suami bekerja sebagai pengawal keselamatan di jeti kargo Jabatan Laut Kuala Terengganu dengan pendapatan bulanan antara RM1,200 hingga RM1,800.

“Pendapatan suami tidak cukup kerana dua anak kami yang berusia tujuh dan 11 tahun masih bersekolah.

“Jadi, kami amat mengharapkan sumbangan orang ramai kerana mahu Muhammad sihat dan dapat membesar seperti bayi normal,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Kardiologi di Jabatan Pediatrik SMC, Dr Ang Hak Lee berkata, Muhammad memerlukan bantuan pernafasan disebabkan masalah jantung berlubang dan tekanan paru-paru tinggi.

Menurut Dr Ang, pembedahan segera perlu dilakukan bagi mengelak Muhammad ditahan lebih lama di wad, kegagalan jantung berfungsi dan kemungkinan meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

“Lima puluh peratus bayi sindrom down biasanya dilahirkan dengan kemungkinan mengalami masalah jantung.

“Dalam kes Muhammad, dia bukan hanya perlu diberi bantuan pernafasan tetapi juga antibiotik tetapi langkah baik untuk jangka masa panjang adalah pembedahan.

“Sekiranya pembedahan berjaya dan keadaan Muhammad stabil, dia akan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Muhammad boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek (dengan namanya di belakang cek) kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP menerusi akuan Maybank 5141-0532-3170

Sumbangan juga boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat Anjung Riong, Balai Berita 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: Ogos 16, 2021 @ 5:38pm
Search