Bayi lapan bulan perlu RM80,000 jalani pembedahan jantung

Bayi down syndrome, Muhammad Hadif Nufail Herman bersama ibunya Nurulella Sayuti memerlukan RM 80 000  untuk menjalani pembedahan jantung berlubang di Gleneagles Hospital Kuala Lumpur. Sumbangan disalurkan ke Tabung MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND. FOTO ROHANIS SHUKRI

Kuala Lumpur: Berat dugaan yang ditanggung Muhammad Hadif Nufail Herman yang baru berusia lapan bulan apabila disahkan mengalami komplikasi jantung berlubang Atrioventricular Septal Defect (AVSD) sejak lahir.

Malah, Muhammad Hadif Nufail turut disahkan menghidap Sindrom Down selepas menjalani ujian genetik dilakukan.

Bagi ibunya, Nurulella Sayuti, 35, dia berharap dapat melihat anak keduanya itu mendapat peluang kehidupan seperti anak sulungnya, Nadia Nayla Herman, 5, yang membesar dengan sihat.

“Hanya menerusi pembedahan dapat menyelamatkan nyawanya namun pendapatan keluarga dan saya sendiri sebagai suri rumah tidak dapat menampung kos itu.

“Saya mahu mengakhiri penderitaan yang ditanggung Muhammad Hadif dan membawanya pulang ke rumah kerana sudah terlalu lama di hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, gaji suaminya yang bekerja sebagai juruteknik hanya RM2,100 sebulan dan tidak dapat menampung kos pembedahan jantung di Hospital Gleneagles di sini, berjumlah RM80,000.

“Keluarga ada membantu tetapi tidak mampu untuk mengumpulkan jumlah sebanyak itu.

“Ibu mana yang tidak sedih dan pada mulanya saya tidak percaya anak kedua ini sakit,” katanya yang menetap di Klang, Selangor.

Nurulella berkata, dia dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan berharap ada sinar baru buat anak keduanya itu.

“Imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) ketika kandungan berusia lapan bulan, doktor sahkan bayi saya songsang dan perlu bersalin secara pembedahan.

“Tetapi tidak sangka pula, dugaan tidak berhenti selepas Muhammad Hadif lahir, dia terpaksa menanggung komplikasi jantung berlubang dan juga Sindrom Down,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) menerusi akaun Maybank bernombor 514105323170 atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima beralamat di Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27148977 untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: Februari 24, 2021 @ 1:54pm
Search