Bergantung mesin bantuan pernafasan 24 jam

Shahrinnahar Latib

JIKA kanak-kanak seusianya gembira bermain bersama rakan di padang permainan namun bagi Muhammad Hisyamuddin Mohd Asri, 5, tiada peluang baginya menikmati semua itu.

Takdir tidak mengizinkan anak bongsu daripada dua beradik itu menikmati kehidupan seperti rakan sebaya disebabkan penyakit paru-paru kronik dialaminya hingga menyebabkan dia terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang masa.

Ibunya, Norfardilatul Akmar Mustafa, 34, berkata masalah kesihatan dihidapi anaknya itu berpunca daripada demam teruk dialami Muhammad Hisyamuddin ketika berusia enam bulan dan ketika itu doktor memaklumkan anaknya menghidap penyakit pneumonia.

“Sejak dari itu, anak saya terpaksa menggunakan mesin bantuan pernafasan 24 jam setiap hari. Jika cabut mesin bantuan pernafasan pun hanya boleh bernafas beberapa minit saja.

“Mesin bantuan pernafasan itu hanya ditanggalkan ketika mandi saja, jika ditanggalkan terlalu lama, dia akan sejak nafas dan boleh membahayakan nyawanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Bukit Rangin, Kuantan, hari ini.

Suri rumah itu berkata, anaknya juga tidak boleh bermain di luar rumah bersama kanak-kanak lain kerana boleh membahayakan nyawanya selain takut dijangkiti penyakit.

“Malah, anak saya tidak boleh terlalu terdedah kepada persekitaran kerana mudah dijangkiti penyakit. Jika dia demam atau selsema kena hantar ke hospital segera dan perlu ditahan di wad sehingga pulih sepenuhnya,” katanya.

Norfardilatul Akmar berkata, mereka memerlukan bantuan kewangan bagi membeli mesin bantuan pernafasan lebih kecil dan boleh dibawa ke mana-mana bagi memudahkan pergerakan anaknya di sekolah.

“Anak saya sudah masuk pra sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Putih Baru. Memang sukar untuk anak membawa mesin bantuan pernafasan digunakan sekarang kerana agak besar.

“Dengan pendapatan suami (Mohamad Asri Abdul Rashid, 32) yang tidak seberapa sebagai pengawal keselamatan, memang tidak mencukupi untuk membeli mesin bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, dia amat mengharapkan bantuan daripada orang ramai memberi bantuan bagi membeli mesin bantuan pernafasan itu kerana mahu memudahkan pergerakan anaknya di bersekolah.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubunginya di talian 011-25340421 atau melalui akaun Maybank 156226176966 atas nama Norfardilatul Akmar Mustafa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 5:25 PM
Search