Derita dua bayi jantung berlubang

Redzuan Muharam dan Murnaena Muhammad Nasir

DUA bayi masing-masing berusia dua dan tiga bulan memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan mereka di Hospital Gleneagles, di sini sekaligus mendapat peluang kedua untuk hidup.

Che Ku Ammar Zaqwan Ab Hamid dikesan menghidap penyakit injap jantung terbalik ketika berusia 50 hari dan memerlukan RM60,000 untuk menjalani pembedahan.

Bapanya, Ab Hamid Salleh, 48, berkata, dia reda dengan ujian itu tetapi buntu memikirkan kos pembedahan yang tinggi kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan harian manakala isterinya seorang suri rumah.

Namun, sudah hampir dua bulan dia tidak bekerja kerana perlu membantu isteri memantau keadaan Che Ku Ammar yang memerlukan rawatan dan penjagaan rapi.

Menurut bapa lima anak itu, anak bongsunya itu dilahirkan normal malah isterinya juga tidak mengalami masalah sewaktu hamil.

“Bagaimanapun, saya dan isteri nampak perubahan bayi kami selepas dia(Che Ku Ammar) muntah dengan tiba-tiba dan seolah-olah sesak nafas hingga badannya menjadi lemah sewaktu menyusu badan.

“Bagi mendapatkan kepastian, saya dan isteri membawanya ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.

“Apa yang menyedihkan, keadaannya bertambah kritikal dan doktor turut memberitahu untuk peluang anak saya hidup hanya 50-50,” katanya.

AYAH dan ibu kepada Che Ku Ammar Zaqwan, yang mengalami penyakit saluran jantung bertukar kini dirawat di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO MUSTAFFA KAMAL
AYAH dan ibu kepada Che Ku Ammar Zaqwan, yang mengalami penyakit saluran jantung bertukar kini dirawat di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO MUSTAFFA KAMAL

Menurut Ab Hamid, Che Ku Ammar sepatutnya menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) tetapi dirujuk ke Hospital Gleneagles kerana urusan itu perlu disegerakan bagi menyelamatkan nyawanya.

“Ikutkan, anak saya sudah menjalani dua pembedahan kecil sebelum bagi membaiki salurannya tetapi tidak berjaya.

“Disebabkan itu, doktor mengesyorkan pembedahan susulan cuma apa yang merisaukan saya dan isteri kini adalah bagaimana untuk mendapatkan wang bagi menampung kos pembedahan.

“Jadi, besar harapan saya jika orang ramai ramai sudi menghulurkan sumbangan demi meringankan beban kami kerana mahu melihat anak sembuh seterusnya membesar dengan normal,” katanya.

Sementara itu, Tang Yong Chai, 31, dan isterinya, Choong Suet Man, 28 turut mengharapkan ihsan orang ramai bagi membolehkan anak bongsu mereka, Tang Gaa Xin yang berusia dua bulan menjalani pembedahan berikutan masalah jantung berlubang jenis VSD (Ventricular Septal Defect) dan saluran darah tidak normal (Interrupted Aortic Arch).

Menurut Tang, anaknya itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan RM80,000 dengan segera.

“Saya dan isteri panik selepas melihat badan bayi kami bertukar kebiruan pada bahagian jantung, mulut dan kuku kaki pada usia 25 hari.

“Tanpa berfikir panjang, kami segera membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang dan doktor mengesyorkan pembedahan segera kerana keadaannya yang kritikal.

“Namun, pendapatan saya tidak seberapa kerana hanya membantu ibu membuat kuih tradisional cina dengan pendapatan RM50 sehari manakala isterinya suri rumah sepenuh masa. Jadi, kami tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan kerana mempunyai dua lagi anak yang masih bersekolah,” katanya.

YONG Chai (kiri) dan Suet Man bersama anak mereka yang mengalami penyakit jantung berlubang kini dirawat di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO MUSTAFFA KAMAL
YONG Chai (kiri) dan Suet Man bersama anak mereka yang mengalami penyakit jantung berlubang kini dirawat di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO MUSTAFFA KAMAL

Sumbangan boleh disalurkan menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (Media Prima-NSTP Humanitarian Fund) menerusi akaun Maybank bernombor 514105323170) atau melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek.

Cek boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima beralamat di Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27148977 untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:12 PM
Search