Hasrina perlu kaki palsu baru

Shahrinnahar Latib

SEORANG pelajar tingkatan lima yang cacat tanpa kaki kanan memerlukan bantuan kaki palsu baharu untuk memudahkan pergerakan terutamanya ketika berada di sekolah.

Kaki kanan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Nurul Hasrina Adnan,18, terpaksa dipotong akibat kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan di Taman Seri Mahkota di Kuantan, pada 20 September 2016.

Dalam kejadian itu, Nurul Hasrina yang membonceng motosikal Honda EX5 bersama rakannya terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah dan kaki kanannya digilis yang terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya akibat jangkitan kuman.

Nurul Hasrina berkata, sebelum ini keluarganya ada membeli kaki palsu dengan harga RM13,000, namun tidak bersesuaian yang menyebabkan pangkal pehanya melecet dan berdarah.

“Kaki palsu ini ayah (Adnan Saari, 57) yang beli, masih ada hutang lagi dengan syarikat yang buat kaki ini kira-kira RM3,000… tetapi sayangnya saya tidak boleh pakai.

“Sebelum ini saya cuba pakai juga, tetapi tidak boleh sebab nanti melecet dan berdarah… sekarang hanya guna tongkat untuk lakukan aktiviti harian.

“Bahu saya pun rasa sakit akibat selalu menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota, di Kuantan.

Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, dia amat memerlukan kaki palsu untuk memudahkan pergerakannya terutamanya ketika sesi pembelajaran di sekolah.

“Selepas tiga tahun kemalangan itu, sakit pada bahagian peha kanan yang dipotong masih terasa, saya sudah menjalani 11 pembedahan di bahagian terbabit,” katanya.

Katanya, dia berazam mencapai keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun banyak ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak hadir ke sekolah sejak 2016.

“Sebelum ini cita-cita saya adalah untuk menjadi anggota badan beruniform namun terpaksa dilupakan akibat tragedi kemalangan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Nurul Hasrina boleh menghulurkan sumbangan ke Media Prima-NSTP Humanitarian Fund menerusi akaun Maybank 5141-0532-3170.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek itu dan hendaklah dihantar ke Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 1:43 PM
Search