‘Istana’ reput lima beranak

Noorazura Abdul Rahman

AKIBAT kesempitan hidup, ibu tunggal terpaksa tinggal bersama empat anaknya di rumah pusaka yang reput.

Roziah Ad, 49, berkata, dia tidak mampu membina rumah baharu berikutan hanya bergantung dengan pendapatan anak sulungnya, Muhammad Azin Azhari, 22, sebanyak RM35 sehari yang berkerja sebagai pembantu kedai.

Katanya, rumah itu hanya menanti masa untuk rebah ke bumi apabila sebahagian besar tiang dan dinding kayu dimakan anai-anai.

 “Saya menoreh getah dengan pendapatan kira-kira RM100 sebulan, kudrat saya agak terbatas kerana sakit lutut, sejak kematian suami saya tiga tahun lalu, saya bergantung dengan wang bantuan zakat sebanyak RM300 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

“Duit itu digunakan untuk perbelanjaan harian dua anak saya yang masih bersekolah, manakala gaji anak sulung saya digunakan untuk membeli barang dapur dan keperluan lain,” katanya yang tinggal di Kampung Tanjung Belit, di Sik.

Roziah berkata, dia sangat bimbang mengenai keselamatan anak-anaknya berikutan lantai bahagian atas rumah turut reput selain sebuah bilik tidak lagi dapat digunakan akibat dimakan anai-anai.

Katanya, atap rumah juga sudah bocor sehingga dia perlu menggunakan baldi bagi menakung air hujan.

“Jika ada hujan dan angin kuat, saya akan susah hati, takut rumah runtuh atau bumbung diterbangkan angin, saya sudah buat permohonan rumah baharu menerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB), saya harap permohonan itu akan mendapat perhatian segera.

“Anak sulung saya tidak boleh melakukan kerja berat berikutan mengalami masalah tulang bengkok, anak kedua saya, yang berusia 19 tahun, banyak membantu di rumah… dua lagi anak perempuan saya masih bersekolah.

“Saya sangat mengharapkan bantuan rumah baharu supaya kami boleh tidur dalam keadaan tenang terutama semasa musim hujan,” katanya.

Bagi orang ramai yang mahu membantu, Roziah boleh dihubungi menerusi nombor 019-4027602 atau melalui akaun Bank Rakyat atas nama Roziah (223841056737).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:13 AM
Search