Kanak-kanak sakit jantung perlu dibedah segera

Selasa, 17 Disember 2019 |
Chin Yong (kanan) dan isteri, Guat Tho bersama Yu Siang di Gleneagles Kuala Lumpur. – NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Keriangan menyambut kelahiran anak sulung dua tahun lalu bertukar duka apabila bayi kepada pasangan Gan Chin Yong dan Tee Guat Tho, 30, disahkan mengalami komplikasi jantung.

Chin Yong berkata, anaknya, Gan Yu Siang, 2, dikesan menghadapi masalah jantung berlubang dan saluran darah ke paru-paru tersumbat, sejurus selepas dilahirkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Yu Siang tidak dapat menjalani pembedahan segera ketika itu kerana saiz saluran darah yang kecil, selain berat badan tidak mencukupi.

“Saya dan isteri risau dengan keadaannya, lebih-lebih lagi apabila dia mula menangis kerana bibirnya akan bertukar kebiruan. Dia juga kurang selera makan dan minum susu.

“Malah, selepas dilahirkan, Yu Siang tidak dibenarkan dibawa pulang ke rumah kerana keadaan kesihatannya memerlukan pemantauan rapi selama tiga minggu di hospital,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Isterinya yang juga suri rumah, berkata anaknya itu memerlukan bantuan kewangan kira-kira RM40,000 bagi menampung kos pembedahan yang dijalankan dalam masa yang terdekat di Gleneagles Kuala Lumpur.

Katanya, anaknya pernah menjalani pembedahan sama pada Julai lalu dan menelan belanja kira-kira RM40,000 hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

“Anak saya memerlukan beberapa lagi pembedahan lain bagi memulihkan keadaan jantungnya itu. Saya berharap orang ramai dapat membantu kami mengumpul dana pembedahan ini supaya dia dapat hidup aktif seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Malaysian Heart Health (MyHeart) tampil menderma RM10,000 bagi meringankan beban dihadapi Yu Siang.

Bukan itu saja, sepasang suami isteri iaitu Datuk Dr Ong Beng Leong dan Datin Ang Poh Gek masing-masing turut menyerahkan cek RM10,000 sumbangan mereka, hari ini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 atau cek dengan menulis nama pesakit (Gan Yu Siang) di belakang cek berkenaan dan dihantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Search