Keluarga rayu bantuan pembedahan bayi sindrom down

Tarmizi Chin bersama isteri melihat keadaan anaknya. FOTO ASWADI ALIAS.
Kuala Lumpur: Bayi sindrom down berusia dua bulan memerlukan bantuan orang ramai untuk menampung kos pembedahan segera berjumlah keseluruhan kira-kira RM40,000.

Muhammad Iman Mohamad Tarmizi Chin dikesan mempunyai masalah saluran darah pada jantung atau ‘patent ductus arteriosus’ (PDA) yang menyebabkannya mempunyai masalah jantung kronik.

Bapanya, Mohamad Tarmizi Chin Abdullah, 51, berkata pendapatannya sebagai buruh tidak mampu untuk menanggung kos pembedahan anak kelimanya itu di Pusat Perubatan Sunway.

Menurutnya, dia dan isterinya, Mazilawati Abdullah, 43, yang juga suri rumah berharap ada pihak sudi untuk membantu meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

“Saya hanya bekerja sebagai buruh di sebuah kilang batu-bata dengan pendapatan hanya RM1,800 sebulan sekali gus tidak berkemampuan untuk menampung kos pembedahan anak.

“Anak sulung berusia 20 tahun tetapi belum bekerja, manakala empat anak lain berusia dua, enam 6 dan 10 tahun termasuk Muhammad Iman masih di bawah tanggungan saya sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Mazilawati berkata, dia berharap anak istimewanya itu dapat membesar seperti adik-beradiknya yang lain.

“Walaupun nanti dia membesar tidak normal seperti kanak-kanak lain, saya tetap akan menjaga dan membesarkannya dengan baik.

“Sejak dilahirkan, dia tinggal di hospital selama 40 hari dan hanya sempat dibawa pulang ke rumah dua minggu saja kerana komplikasi jantung yang dialaminya.

“Ketika mengandung juga tiada masalah, tetapi sudah ditakdirkan dia dilahirkan tidak normal dan saya menerima dengan reda,” katanya.

Orang ramai boleh menyumbang kepada Muhammad Iman menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP melalui akaun Maybank 514105323170.

Sumbangan dengan cek boleh disalurkan dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 51900, Bangsar, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: Februari 25, 2021 @ 8:43pm
Search