MPB sumbang tujuh panel solar Kampung Pulau Che Soh

Oleh Siti Rohana Idris
[email protected]

TUMPAT: Tujuh panel solar yang disumbangkan Media Prima Berhad (MPB) di Kampung Pulau Che Soh, di sini, memberi manfaat kepada lebih 30 penduduk.

Panel solar itu amat diperlukan berikutan sejak sekian lama sembilan keluarga di kampung berkenaan hanya bergantung kepada dua tiang lampu saja yang menerangi jalan di waktu malam.

Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat MPB, Azlan Abdul Aziz, berkata sumbangan itu adalah menerusi tabung bencana yang diwujudkan pada 2014.

“Panel solar ini dipasang oleh lima ahli Briged Sukarelawan Media Prima/NSTP dan sumbangan itu bertepatan dengan misi kewujudan tabung iaitu membantu mangsa musibah banjir pada 2014 apabila kampung ini antara lokasi yang turut terjejas.

“Kita harapkan agar pemasangan panel solar ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung,” katanya.

Kampung Che Soh adalah antara 13 kampung yang terletak di dalam gugusan pulau di daerah ini.

Seorang penduduk, Kamaruzaman Omar, 58, berkata pada waktu malam kebanyakan penduduk di kampung itu tidak keluar melainkan terdapat urusan penting saja.

“Keadaan kampung yang jalan tidak diturap dengan tar dan kiri kanan jalan dipenuhi semak dan hutan agak membimbangkan kami untuk keluar pada waktu malam.

“Lazimnya penduduk akan bergantung kepada lampu suluh atau lampu motosikal saja untuk menunjukkan arah. Kita berterima kasih kepada MPB kerana menyediakan kemudahan untuk kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Che Soh, di sini, hari ini.

Pemasangan panel solar itu dilakukan menerusi kerjasama antara Briged Sukarelawan Media Prima/NSTP dengan sukarelawan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena program khidmat masyarakat UKM.

Program selama dua hari bermula semalam, seramai 53 sukarelawan UKM berkampung di Kampung Pulau Che Soh menjalankan kerja sukarela termasuk membaik pulih jeti dan membuat mural di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, iaitu satu-satunya sekolah di gugusan kepulauan itu.

Ketua Pengarah Program, Nor Haliza Harun, berkata khidmat masyarakat itu adalah kali ketiga dilakukan di kampung terbabit dan ia dimulakan sejak 2014 oleh alumni UKM.

Search