Nur Qaisara perlu RM80,000 untuk pembedahan jantung

Oleh Zanariah Abd Mutalib
[email protected]

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang mengalami masalah injap jantung sejak dilahirkan, Nur Qaisara Muinuddin, 7, memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM80,000 bagi menampung kos pembedahan susulan yang perlu disegerakan.

Bagi membantu Nur Qaisara, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP merayu orang ramai supaya menghulurkan sumbangan melalui tabung ini bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak perempuan itu.

Bapa Nur Qaisara, Muinuddin Muhamad, 33, berkata ini adalah pembedahan kali ketiga (fontan) bagi anak sulungnya itu yang berdepan masalah kamar jantung tunggal (single ventricle), yang menyebabkan kanak-kanak itu cepat letih dan sukar bernafas.

“Pembedahan yang akan dijalankan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur ini sepatutnya dibuat ketika Nur Qaisara berusia berusia lapan atau sembilan tahun apabila beratnya mencapai 18 kilogram (kg), namun selepas dia mula memasuki Tahun Satu tahun ini, dia menjadi cepat letih kerana banyak melakukan aktiviti, sekali gus berdepan masalah sukar bernafas sehingga mukanya menjadi biru.

“Justeru, doktor menasihatkan supaya pembedahan ketiga ini dijalankan lebih awal dan segera walaupun beratnya baru mencecah 15 kg, supaya kadar oksigen bagi pernafasannya meningkat sehingga 90 peratus, berbanding 70 ke 80 peratus ketika ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Muinuddin berkata, pembedahan pertama dijalankan ketika Nur Qaisara berusia sebulan bagi memasang tiub pada jantung, manakala pembedahan kedua ketika dia berusia setahun setengah bagi membuang tiub berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua pembedahan itu yang menelan belanja kira-kira RM78,000 berjaya dilakukan hasil sumbangan orang ramai yang menderma melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Katanya, walaupun pendapatannya yang tidak tetap sebagai penjual rumah di Perak dan isterinya, Badariah Rahmat, 33, seorang guru, mereka berusaha mengumpul wang berkenaan, namun terpaksa merayu bantuan orang ramai kerana kos pembedahan itu semakin tinggi.

“Saya berharap orang ramai dapat membantu kami mengumpul dana untuk pembedahan Nur Qaisara ini supaya dia dapat hidup aktif seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Muinuddin turut mengucapkan terima kasih kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP yang membantu keluarganya sejak tahun lalu bagi mengumpul dana untuk pembedahan Nur Qaisara.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund melalui akaun Maybank 5141-0532-3170 atau cek dengan menulis nama pesakit (Nur Qaisara Muinuddin) di belakang cek berkenaan dan dihantar ke alamat Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan, Media Prima Berhad, Tingkat 3, Anjung Liku, Balai Berita, No. 31, Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Search