Perlu RM40,000 masukkan sendi pinggul

Kanak-kanak, Aisyah Humairah Mohd Nasrullah, 2 tahun merupakan pasakit tulang pingul terkeluar (davelopmental dysplasia of hip) memerlukan RM 40 ,000 bagi rawatan sakitnya di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur. Sumbangan melalui MEDIA PRIMA-NSTP HUMANITARIAN FUND. FOTO ROHANIS SHUKRI
Kuala Lumpur: Detik paling berharga buat ibu bapa apabila dapat melihat anak mereka berjalan buat kali pertama.

Namun pengalaman itu bertukar kepada kesedihan buat suami isteri, Mohd Nasrullah Harudin, 27, dan Nadia Azmalis Amira Mohd Rozi, 23, apabila melihat anak sulung mereka, Aisyah Humairah, 2, mengalami kesukaran berjalan seolah-olah tempang.

Pasangan ini memerlukan RM40,000 untuk menampung pembedahan memasukkan sendi pinggul kanan Aisyah di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Nadia Azmalis yang juga suri rumah berkata, ketika Aisyah berusia 13 bulan dia perasan anaknya berjalan tidak sekata dan sama serta terus membawa anak sulung itu ke sebuah hospital di Johor.

“Saya diberitahu sendi pinggul kanan Aisyah terkeluar yang dinamakan ‘Right Developmental Dysplasia of Hip’ dan memerlukan pembedahan segera bagi memasukkan kembali sendi itu.

“Sebagai seorang ibu, saya sedih melihat keadaan anak saya tidak normal seperti kanak-kanak sebayanya dan berharap pembedahan ini dapat disegerakan bagi memberi kehidupan lebih baik, lebih-lebih lagi dia perempuan,” katanya.

Menurutnya, dia yang tidak bekerja dan suaminya yang juga seorang penjawat awam tidak mampu untuk menyediakan wang pembedahan berjumlah RM40,000.

Sementara itu, konsultan dan pakar bedah Paediatrik Ortopedik dan Trauma Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Abd Razak Muhamad berkata, penyakit Aisyah dikesan ketika pertama kali berjalan yang sedikit tempang dan dilaporkan membabitkan satu daripada 1,000 kelahiran.

“Sendi pinggul kanan yang terkeluar perlu dimasukkan kembali melalui pembedahan bagi mengelak Aisyah tempang dan mengalami kesukaran berjalan.

“Pembedahan yang memakan masa tiga hingga empat jam ini akan dilakukan dengan memasukkan kembali sendi pinggul Aisyah, kemudian kita akan pakaikan simen yang mengambil masa tiga bulan untuk pulih, kita akan memantau keadaan Aisyah dari semasa ke semasa,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP (MAYBANK – 5141-0532-3170)

Disiarkan pada: Januari 5, 2021 @ 12:46pm
Search