‘Saya jaga amanah ini hingga akhir hayat’

Siti Rohana Idris

MENGURUSKAN tiga anak yang menghidap Cerebral Palsy bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Mohd Zain Abdullah, tanggungjawab itu digalas sejak lebih dua tahun lalu selepas kematian isterinya.

Jika semasa hayat isterinya, Nooraini Ismail masih ada, Mohd Zain, 56, berkata tiga anak istimewa mereka iaitu Khairul Nisaa’, 25, Muhammad Amir, 18, dan Ain Husna, 17, sangat rapat dan manja dengan arwah ibu mereka.

“Sebab itu apabila isteri meninggal dunia pada Disember 2016 akibat kanser payudara, tiga anak istimewa ini terutama Ain Husna merengek setiap waktu dalam tempoh beberapa bulan.

“Saya juga tidak dapat bekerja selama tempoh itu kerana terpaksa menguruskan tiga anak ini kerana empat anak yang lain belum lagi biasa dengan tugas menguruskan tiga beradik istimewa ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 1, Tumpat, baru-baru ini.

Mohd Zain yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, dia yang baru setahun mula bekerja semula hanya mengambil tugasan di tapak binaan yang berhampiran rumahnya saja kerana perlu pulang seketika untuk memandikan tiga anak istimewa itu.

Katanya, bukan anak yang lain tidak boleh menguruskannya, namun tugasan memandikan mereka, hanya dia saja yang mampu mengendalikan terutama Khairul Nisaa’ yang agak agresif.

“Dua anak yang lain iaitu Umi Shamira, 26, dan Mohd Amar Aizat, 21, banyak membantu saya menguruskan tiga anak ini termasuk menyuap makanan dan minuman.

“Saya merayu kepada Mohd Amar agar tidak mencari kerja lain buat sementara waktu walaupun anak ketiga dari tujuh beradik itu baru menamatkan pengajian di Pusat Giat Mara Tumpat.

“Sekurang-kurangnya kehadiran Mohd Amar dapat meringankan sedikit beban tugas saya menguruskan tiga beradik istimewa itu di saat meninggalkan mereka setiap kali keluar bekerja,” katanya.

Mohd Zain berkata, dia terharu apabila anak sulungnya, Umi Shamira pernah memberitahunya bahawa dia tidak kisah jika tidak berumahtangga kerana ingin menjaga tiga adiknya itu.

“Malah ada yang pernah merisiknya baru-baru ini namun dia menolak kerana memikirkan tiga adiknya ini yang mungkin akan ditinggalkan jika dia berumahtangga kelak.

“Saya sama sekali tidak akan menyekat jika jodoh anak saya tiba suatu hari nanti kerana itu adalah demi masa depannya dan saya tetap akan menggalas tanggungjawab menjaga tiga amanah ini sehingga akhir hayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 12:28 PM
Search